BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, August 12, 2010

Isu dalam pemuliharaan bandaraya Bersejarah Georgetown

Kerajaan Pusat akan memainkan peranan dalam memulihara dan menjaga keaslian warisan dunia yang terdapat di Bandar Georgetown sesuai dengan kepercayaan yang diberikan UNESCO. Namun begitu, semua pihak baik kerajaan pusat, kerajaan negeri, kerajaan tempatan mahupun rakyat tempatan harus berganding bahu bagi menjaga warisan sejarah yang terdapat di Bandar Georgetown. Sejak 1948,warisan bangunan di Georgetown dipelihara di bawah Akta Kawalan.

Penyesuaigunaan semula adalah sebahagian daripada proses pemuliharaan. Ia adalah satu langkah bijak bagi memastikan sesebuah bangunan samada bagunan warisan atau bangunan bersejarah dipulihara, diberikan nafas baru dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Ia juga sebagai langkah mempertahankan khazanah warisan terdahulu daripada lenyap ditelan zaman. Penyesuaigunaan semula adalah satu proses dimana sebuah bangunan sediada diubahsuai fungsi penggunaannya kepada satu fungsi baru yang sama sekali tidak sama dengan fungsi asal dan akan meninggalkan fungsi penggunaan yang lama.

Namun begitu, selepas Pilihanraya Umum (PRU) yang ke 12 pada tahun 2008 berbagai masalah timbul setelah Pakatan Rakyat Berjaya menguasai Pulau Pinang. Kerajaan Pusat telah mula menafikan peruntukan bagi memelihara Bandar Gergetown seperti mana dalam perjanjian dengan UNESCO. Keengganan Kerajaan Pusat telah menyebabkan kerajaan negeri tidak mempunyai dana yang cukup bagi memulihara dan menjaga keaslian tapak warisan dunia yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Sehubungan dengan itu, Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng berucap dalam satu majlis bersama rakyat di Pulau Pinang baru-baru ini telah menyatakan akan membuat aduan kepada UNESCO sekiranya Kerajaan Pusat masih berdegil tidak mahu menyalurkan peruntukan kepada kerajaan negeri.

Kesimpulannya, isu pemuliharaan warisan negara yang telahpun diiktiraf oleh UNESCO ini tidak sepatutnya dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu. Semua harus memainkan peranan masing0masing dan harus bertanggungjawab untuk memastikan warisan dan khazanah negara terus terpelihara dan terjamin keasliannya.

Hak asai manusia dalam Perlembagaan Malaysia

Hak-hak asasi di Malaysia terkandung di dalam sembilan peruntukan di bawah
Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan di bawah tajuk Kebebasan Asasi. Ia bermula
dengan Perkara 5 yang mengkanunkan apa yang dipanggil kebebasan diri dan
berakhir dengan Perkara 13 yang melindungi hak terhadap harta.

Hak Asasi DaIam Perlembagaan Malaysia: Ruang Lingkup dan Masalahnya
Satu aHran yang jelas dalam tiap-tiap peruntukan di bawah Bahagian 2 itu ialah
betapa hak-hak tersebut tidak bersifat mutIak. Semua peruntukan-peruntukan itu
tertakluk kepada sekatan yang dikenakan melalui undang-undang yang diluluskan
oleh Parlimen. Apa yang menjadi masalah di sini ialah tafsiran kepada ungkapan
'undang-undang' itu sendiri. Seperti yang akan dipaparkan kemudian, apa yang
dikatakan sebagai undang-undang itu dibataskan kepada apa sahaja undang-undang,
bagaimana zalim dan tidak munasabah sekalipun, yang diluluskan oleh Parlimen.
Kesan negatif pendekatan atau tafsiran yang sedemikian ialah betapa pedembagaan
- meskipun ia adalah undang-undang tertinggi negara
- pada hakikatnya tidak lagi
menjadi rujukan asas kepada hak-hak yang dikatakan sebagai kebebasan asasi itu.
Sebaliknya hak-hak asasi itu pada praktiknya merujuk kepada kehendak Parlimen
serta tafsiran mahkamah.

Masalah-masalah ini sebenamya adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan
daripada dokumen dan kerangka pedembagaan itu sendiri. Sewaktu membuat syor
mengenai peruntukan-peruntukan berkenaan, Suruhanjaya Reid5 tidak berasa perlu
untuk mewujudkan sebuah bab lengkap mengenai hak-hak asasi. Peruntukan
mengenai hak-hak asasi itu hanya dimasukkan setelah beberapa memorandum yang
membimbangi mas a depan hak-hak asasi di negara ini dikemukakan kepada
Suruhanjaya. Meskipun peruntukan berkenaan dimasukkan, Suruhanjaya tetap
berpendapat bahawa kedudukan hak-hak asasi di Tanah Melayu pada waktu itu
telah berakar dan kukuh. Jika kita melihat perkembangan selepas merdeka,
keyakinan Suruhanjaya itu memang jelas jauh meleset. Pihak berkuasa, yang sering
mendakwa bahawa hak-hak asasi tidak penting berbanding dengan apa yang mereka
dakwa hak ke atas pembangunan, umumnya tidak begitu komited dengan
pelaksanaan hak-hak berkenaan. Ini sukar dinafikan apabila kita melihat kewujudan
undang-undang yang implikasinya menindas atau menafikan peruntukan-peruntukan
hak-hak asasi yang terkandung di dalam pedembagaan.

Salah satu kelemahan yang sering disuarakan berhubung dengan masalah hakhak
asasi di Malaysia ialah betapa perlembagaan kita tidak cukup lengkap.
Pedembagaan kita dikatakan tidak serba merangkum. Antara yang disebut dalam
konteks ini termasuklah apa yang dipanggil sebagai larangan terhadap penderaan,
hak untuk hidup dalam persekitaran yang tidak dicemari dan seumpamanya Selain
itu Bahagian 2 juga dianggap tidak sempurna kerana ia tidak melindungi
peruntukan-peruntukan berkenaan daripada dipinda atau dikurangi kepentingannya
oleh Parlimen. Pendapat-pendapat ini tidak seratus peratus salah. Bagaimanapun ada
contoh-contoh negara yang pedembagaan mereka tidak begitu 'sempurna' atau
'lengkap' tetapi pelaksanaan hak-hak asasi tidak menjadi isu besar. Sesetengah
negara tertentu, seperti United Kingdom, malah tidak mempunyai pedembagaan
bertulis pun. Ini bermakna bahawa meskipun perlembagaan bertulis yang
55
]umal Syariah, 10:1 [2002153-70
mengkanunkan peruntukan-peruntukan hak asasi itu penting tetapi yang lebih
kritikal dalam menjamin perlindungan dan pelaksanaan hak-hak asasi ialah sikap
dan komitmen pihak berkuasa.

Sikap dan komitmen pihak berkuasa ini - Parlimen, polis dan seumpamanya -
penting kerana keputusan dan tindakan mereka memberi kesan langsung kepada
rakyat biasa. Dari keputusan ke atas permohonan mengadakan rapat umum
hinggalah kepada kuasa untuk mengambilalih tanah, kesemuanya memberi kesan
langsung kepada hak-hak rakyat, baik sebagai individu mahupun masyarakat.

Rujukan:
Abdul Aziz Bari, "Kebebasan Asasi dalam Perlembagaan Persekutuan - Aspek-aspek yang
relevan buat Gerakan Islam di Malaysia" kertas yang dibaca pada Konvensyen
Gerakan Islam Agenda 2000, Persatuan Ulama Malaysia, 16-7 Oktober 1999.

Kesan-kesan pertambahan penduduk yang pesat di kawasan bandar dan kawasan luar bandar

1. hidup dalam keadaan sesak.

2. perbelanjaan lebih untuk menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, hospital, dan klinik.

3. masalah kurang perumahan menimbulkan masalah kawasan setinggan bagi kalangan penduduk miskin.

4. masalah pengangguran di kalangan penduduk yang kurang pendidikan [1m].
perkembangan industri pembinaan - tempat kediaman untuk memenuhi permintaan penduduk.

5. Penduduk menyediakan tenaga pekerja mahir, separuh mahir,dan buruh untuk perkembangan industri tempatan.

6. kesesakan lalu lintas.

7. pencemaran alam sekitar - pembuangan sampah-sarap.

8. tanah semakin kecil, tidak ekonomik untuk dikerjakan lagi.

9. Pengangguran.

10. pendapatan kurang dan tidak tetap - kebuluran.

Pandangan Mengenai Masa Depan Politik Perkongsian Kuasa Pasca PRU-12

Melalui pembacaan dan kajian yang telah saya jalankan sebelum menyiapkan tugasan ini, saya berpendapat bahawa masa depan politik perkongsian kuasa antara kaum tetap relevan di Malaysia pada masa akan datang. Selepas berlakunya tsunami politik pada PRU ke 12 yang lalu politik perkongsian kuasa tetap utuh dan semakin menunjukkan keikhlasan yang tersendiri walaupun beberapa negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Di pihak Barisan Nasional yang menang tipis di peringkat Parlimen masih lagi mengekalkan dasar perkongsian kuasa yang telah lama wujud. Pada kali ini, wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak ramai yang telah dipilih oleh Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Datuk Seri Abdullah Badawi menjadi Menteri Kabinet sesuai dengan kerusi yang banyak dimiliki oleh calon-calon BN di Sabah dan Sarawak. Selain daripada itu, wakil-wakil komponen dalam BN seperti MCA, MIC, PPP dan GERAKAN juga dipilih menganggotai Kabinet sesuai dengan semangat perkongsian kuasa yang diamalkan sebelum ini walaupun calon-calon parti komponen dalam BN ramai yang telah tewas kepada Pakatan Rakyat.

Selain itu, negeri-negeri yang telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR) seperti di Selangor, Perak dan Pulau Pinang juga mengamalkan dasar perkongsian kuasa antara kaum dan isu mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keanggotaannya berbilang kaum akan menyebabkan amalan perkongsian kuasa akan lenyap di bumi Malaysia tidak timbul malah perkongsian kuasa di negeri Pakatan Rakyat lebih dinamik dan tersusun. Bagi menyokong hujah tersebut, contoh yang paling baik boleh kita lihat di negeri Perak selepas PR telah berjaya mendapat kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Wakil PAS telah memenangi 6 kerusi, DAP pula telah memenangi 18 kerusi dan PKR menang sebanyak 7 kerusi telah menafikan Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri Perak. Mengikut perjanjian yang di buat oleh pihak Barisan Alternatif wakil parti gabungan yang paling banyak menang akan dilantik menjadi Menteri Besar dan melihat kepada jumlah kerusi yang dimenangi maka wakil DAP paling layak untuk memegang tampuk kerusi Menteri Besar. Namun begitu, sesuai dengan semangat setia kawan dalam PR tiga nama wakil dari PAS, DAP dan PKR telah dihantar kepada Pemangku Sultan Perak iaitu Raja Dr. Nadzrin Shah untuk mendapat perkenan baginda siapa yang paling layak menjadi menteri besar.

Dengan kebijaksanaan Ke Bawah Duli Tuanku Pemangku Sultan, YB Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS telah diperkenan untuk menjadi Menteri Besar Perak. Keputusan Pemangku Sultan telah diterima secara muafakat oleh wakil DAP dan PKR sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Tubuh Negeri Perak yang memperuntukan hanya orang Melayu Islam sahaja yang layak menjadi Menteri Besar Perak. Segala pengalaman dan ketokohan Ir. Mohamad Nizar telah berjaya menyatukan ketiga-tiga ideologi politik PAS, DAP dan PKR bersama-sama membentuk kerajaan di Perak. Istilah Pakatan Rakyat juga mula diperkenalkan oleh Ir. Mohamad Nizar bagi merapatkan jurang ideologi antara ketiga-tiga entiti politik tersebut. Kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak adalah merupaka lembaran baru dalam duni politik Tanah Air yang mana telah melihatkan masa depan yang cerah bagi politik perkongsian kuasa antara kaum di Malaysia.

Modul di Perak pada masa itu adalah antara yang terbaik bagi menunjukkan perkongsian kuasa dan keadilan kepada semua kaum walaupun ada beberapa tindakan Ir. Mohamad Nizar telah ditempelak sesetengah pihak yang mengatakan bahawa beliau adalah kuda tunggangan DAP dan bertindak atas arahan DAP selepas beliau memberikan tanah kepada Sekolah Cina dan orang-orang Cina di Kampung Baru. Namun demikian, Ir. Nizar hanya mahu memerintah secara adil dan tidak mendiskriminasikan rakyatnya sesuai dengan keadilan Islam. Perwatakan Ir. Mohamad Nizar yang sederhana dan berjiwa rakyat juga telah menjadi ikon kepada semua rakyat berbilang kaum di Perak dan beliau amat dihormati kawan serta lawan. Selain itu, kebolehan beliau menguasai bahasa Mandarin, Tamil serta Inggeris amat disenangi oleh rakyat Perak yang berbilang kaum.

Contoh kedua bagi meyakinkan bahawa politik perkongsian kuasa tetap relevan di Malaysia selepas PRU ke 12 ialah di negeri Pulau Pinang. YB Lim Guan Eng dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kerana parti DAP mempunyai kerusi DUN paling banyak iaitu sebanyak 19 kerusi berbanding parti gabungan dalam Pakatan Rakyat PAS yang hanya menang satu kerusi manakala PKR menang 9 kerusi yang dipertandingkan.

Walaupun kedua-dua Ketua Menteri Pulau Pinang berbangsa Cina, namun perbezaan ketara dapat dilihat pada zaman Barisan Nasional berkuasa dahulu berbanding pada zaman Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang. Keterbukaan sikap Lim Guan Eng dalam beberapa hal telah membuka mata banyak pihak malah beliau sendiri telah menyatakan mahu mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz dalam memerintah negeri dari aspek keadilan dan ketelusan dalam kepimpinan beliau. Beliau telah dikritik hebat oleh golongan yang Pro-Melayu selepas mahu memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dirasakannya tidak adil kepada semua kaum di Pulau Pinang. Namun begitu, isu tersebut tidak lama berkumandang dalam media memandangkan Perdana Menteri sendiri telah melancarkan Dasar Liberalisasi Ekonomi.

Perkongsian kuasa antara kaum jelas dan mempunyai masa depan yang baik jika dilihat dalam pemilihan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri serta Ahli Majlis Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang. YAB Lim Guan Eng telah melantik wakil-wakil Melayu dari Parti PKR dan Pas untuk menjadi Ahli Majlis Kerajaan Tempatan. Pengagihan kepada rakyat terbanyak juga dilakukan dengan lebih cermat dan hanya Cina, Melayu dan India yang benar-benar layak berhak mendapat bantuan dari kerajaan. Dasar tender terbuka telah diperkenalkan bagi projek-projek kerajaan negeri kepada para kontraktor untuk bersaing secara sihat untuk mendapat projek. Selain itu, kesedian kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan hadiah kepada para hafiz dan hufazah al-Quran amatlah mengharukan seluruh umat Islam di Pulau Pinang malah ucapan-ucapan YB Lim Guan Eng sering memetik ayat-ayat suci al-Quran sebagai panduan. Keterbukaan beliau dalam beberapa hal telah menutup persepsi negatif kepada orang Melayu bahawa DAP adalah sebuah parti yang anti Islam dan anti Melayu.

Selain daripada itu, contoh perkongsian kuasa di Selangor juga boleh dijadikan hujah bagi menyokong politik perkongsian kuasa tetap relevan di Malaysia pada masa depan. Pakatan Rakyat Berjaya membentuk kerajaan setelah mendapat majoriti mudah dalam DUN Selangor mengatasi kerusi yang dimiliki Barisan Nasional. Gabungan parti dalam Pakatan Rakyat PAS telah memenangi 8 kerusi, PKR menang 15 kerusi manakala DAP menang 13 kerusi. Sesuai dengan perjanjian yang dilakukan sebelum pilihanraya, wakil dari PKR telah diterima sebulat suara menjadi Menteri Besar Selangor dan Tan Sri Khalid Ibrahim telah diperkenan Sultan Selangor menjadi Menteri Besar.

Banyak perubahan dan reformasi dilakukan oleh kerajaan Selangor bagi mencapai keadilan dan perkongsian kaum antara kaum di negeri tersebut contohnya perlantikan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan. Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab kepada kerajaan tempatan iaitu YB Ronnie Liew melantik orang-orang Melayu yang mewakili PAS dan PKR untuk memegang tampuk kepimpinan dalam kerajaan tempatan. Kematangan Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak melihat kepada kaum semata-mata sebaliknya kelayakan individu tertentu dalam menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan negeri Selangor juga menjadi kontroversi hangat selepas beliau melantik Low Siew Moi seorang yang berbangsa Cina menjadi pengerusi PKNS.

Perlantikan Low Siew Moi sebagai pemimpin PKNS telah menimbulkan banyak persoalan dari berbagai pihak dari kaum Melayu. Hal ini kerana kedudukan tertinggi di dalam intstitusi penting negeri Selangor ini telah diterajui bangsa Melayu semenjak ia ditubuhkan dengan tujuan untuk membangunkan ekonomi negeri yang mana majoritinya adalah penduduk Melayu. Namun begitu, selepas desakan oleh beberapa pihak akhirnya Tan Sri Khalid mahu mengkaji semula perlantikan Pengerusi PKNS tersebut.


Rujukan:
Ahmad Atory. 1993. Dimensi Politik Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ishak Saat. 2005. Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Shah Alam: Karisma Publications.

Nordin Samadi. 1978. Politik Perkauman Parti-parti Politik Pembangkang dalam Masyarakat Berbilang Kaum di Semenanjung Malaysia. Latihan Ilmiah. Bangi: UKM.

Tan Ding Eing. 1975/1979. Sejarah Malaysia Dan Singapura. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Sejarah Politik Perkongsian Kuasa di Malaysia

Parti Perikatan adalah hasil daripada Majlis Perhubungan Masyarakat (CLC) yang ditubuhkan pada Februari 1949 apabila kerajaan British menjemput ketua-ketua kaum Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu untuk berunding mengenai masa depan negara sebelum merdeka. Di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman (UMNO) dan Tan Cheng Lock (MCA), elit politik dan intelektual Melayu-Cina bergabung untuk bertanding dalam pilihan raya majlis bandaran 1952. Kewujudan persahabatan politik antara kaum Melayu dan Cina mendorong MIC untuk menyertai Perikatan pada 1953 dan membantu Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya Persekutuan 1955. Selepas kemengan parti perikatan dalam pilihan raya Persekutuan 1955 maka bermulalah sejarah politik perkongsian kuasa antara kaum di Malaysia.

Konsep perkongsian kuasa dan kontrak sosial merupakan satu konsep yang ternyata terlalu asing bagi bangsa Melayu tradisi pada peringkat awalnya kerana orang-orang Melayu menganggap bahawa Negara ini adalah milik mereka secara total. Idea perkongsian kuasa ini dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra AI Haj (UMNO), Tun Tan Cheng Lock (MCA) dan Tun Samanthan (MIC). Dasar perkongsian kuasa dan kontrak sosial yang dipersetujui dan kemudian menjadi pegangan kepada pribumi lokal dan bukan lokal telah mencorakkan suasana politik baru di Tanah Melayu.

Dasar perkongsian kuasa antara kaum yang terdapat dan diamalkan di Malaysia membuktikan telah berlaku proses interaksi, integrasi dan asimilasi dalam struktur politik di Tanah Melayu. Perkongsian kuasa juga bertujuan untuk mewujudkan perpaduan kaum di kalangan pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia. Sehingga sekarang dasar perkongsian kuasa antara masih lagi dipraktikkan di Malaysia walaupun Perikatan telah bertukar kepada Barisan Nasional demi menjamin keharmonian dan perpaduan antara kaum yang terdapat di Malaysia.

Cabaran dan rintangan yang dihadapi pejuang-pejuang politik kiri

Setiap perkara yang dilakukan untuk mencapai sesuatu hasrat perlulah diketahui permulaan tindakan itu dilakukan dan juga matlamat yang ingin dikecapi. Begitu juga dengan gerakan berhaluan kiri di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Setelah mengetahui sejarah latar belakang penubuhan serta dasar dan tujuan gerakan ini ditubuhkan, kini beralih pula kepada cabaran dan rintangan yang terpaksa dilalui oleh gerakan ini sebagai gerakan berhaluan kiri atau anti British. Daripada hasil pembacaan yang telah dilakukan, dapat diulaskan di sini bahawa terdapat beberapa cabaran dan rintangan yang telah dilalui oleh gerakan berhaluan kiri ini.

Antara cabaran dan rintangan yang dapat dinyatakan di sini adalah pengharaman ke atas pertubuhan gerakan berhaluan kiri oleh pihak British. Ini dapat dilihat apabila pihak British telah mengharamkan pergerakan Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Hizbul Muslimin (HZ). Pertubuhan gerakan ini diharamkan kerana pihak British beranggapan bahawa pergerakan ini bersifat terlalu radikal dan agresif yang boleh menggugat kedudukan mereka di Tanah Melayu.

Cabaran kedua adalah pembubaran pertubuhan gerakan kerana pemimpin-pemimpin yang mendokong gerakan berhaluan kiri ini telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak British. Penangkapan pemimpin-pemimpin gerakan berhaluan kiri ini dilakukan atas dakwaan menghasut rakyat untuk bangkit menentang pihak British di Tanah Melayu. Antara tokoh yang terlibat adalah Ahmad Boestamam yang memimpin Angkatan Pemuda Insaf, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan pemimpin-pemimpin kanan Parti Kebangsaan Melayu Malaya serta pemimpin-pemimpin kanan Hizbul Muslimin.

Cabaran ketiga adalah berkaitan dengan Undang-Undang Darurat 1948 yang telah diperkenalkan di Tanah Melayu. Pengisytiharan Undang-Undang Darurat 1948 telah dilakukan pada 16 Jun 1948 ekoran dari peristiwa pembunuhan tiga orang pengurus ladang bangsa asing dan salah seorang daripadanya adalah Athur Walker di Sungai Siput, Perak. Ekoran dari peristiwa itu, Ahmad Boestamam yang sedang aktif dengan gerakan Angkatan Pemuda Insaf telah ditangkap di Kampung Berang, Tanjung Malim Perak. Melalui undang-undang ini, pihak British telah mengambil kesempatan dengan menangkap ramai pemimpin-pemimpin kecil dan pendokong-pendokong Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Antara yang disenaraikan adalah Abdul Majid Salleh, Osman Abadi, Wan Daud, Othman Bulun, Penghulu Ariffin, Saman Shariff, Sheikh Qadir, Hassan Ahad serta beberapa orang lagi. Penangkapan ini telah menyebabkan mereka dipenjarakan selama tujuh tahun.

Era 1950-an, perjuangan gerakan berhaluan kiri ini lebih bersifat mengikut undang-undang yang telah ditetapkan di Tanah Melayu pada ketika itu. Sungguhpun gerakan-gerakan berhaluan kiri yang wujud pada era itu mengikut undang-undang yang telah ditetapkan, namun gerakan-gerakan ini masih tidak dapat menggugat kedudukan British di Tanah Melayu. Bukan itu sahaja, mereka juga terpaksa berhadapan dengan gerakan-gerakan berhaluan kanan yang berkompromi dengan pihak British. Antara gerakan-gerakan berhaluan kanan yang berkompromi dengan British dan menjadi penghalang kepada gerakan berhaluan kiri adalah Parti Perikatan di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Cabaran kelima adalah berkaitan dengan tuntutan yang telah dibuat oleh gerakan berhaluan kiri tidak mendapat kerjasama daripada pihak British. Ini kerana pendirian yang cuba ditegaskan oleh gerakan berhaluan kiri ini adalah bertentangan dengan pendirian pihak British. Ini dapat dilihat apabila tuntutan Parti Rakyat Malaya yang ditubuhkan oleh Ahmad Boestamam selepas pembebasan beliau dari kem tahanan politik cuba dinyatakan kepada pihak British tidak mendapat kerjasama seperti yang diharapkan.

Cabaran yang terakhir yang dapat diulaskan di sini adalah berkaitan dengan gerakan kecil parti-parti berhaluan kiri. Ketika berhadapan dengan pihak British, parti-parti kecil turut meneruskan perjuangan mereka untuk membantu gerakan-gerakan besar berhaluan kiri mencapai matlamat mereka. Malangnya, suara-suara yang dilontarkan oleh gerakan-gerakan kecil ini dalam membela nasib bangsa Melayu tidak mampu menggugat kedudukan pihak British di Tanah Melayu. Ini kerana pada masa perjuangan mereka, ketiadaan tokoh-tokoh pemimpin yang mampu membawa idea-idea kepada masyarakat dan seterusnya kepada pihak British. Salah satu gerakan kecil berhaluan kiri ini adalah Persatuan Melayu Semenanjung (PMS).


Rujukan:
Ishak Saat (2007). ‘Ahmad Boestamam : Biografi Tokoh Kepimpinan Melayu Radikal’ . Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran. Shah Alam : Terbitan Karisma Production Sdn. Bhd. hlm. 184.

Rashid Maidin telah mengadakan ceramah beliau di Gunung Semanggol pada tahun 1947 berkaitan dengan pentingnya orang Melayu bersatu bangkit menentang penjajah

Gerakan Politik Kiri Pejuang Kemerdekaan Sebenar?

Gerakan berhaluan kiri atau radikal bermula setelah wujudnya kebangkitan semangat nasionalisme dan telah disemarakkan oleh golongan nasionalis yang berpendidikan Melayu. Kebangkitan semangat ini telah dipelopori oleh Kaum Muda dan Kesatuan Melayu Muda sekitar tahun 1920-an dan 1930-an. Kaum Muda merupakan golongan yang mendapat pendidikan dari Timur Tengah telah membawa semangat reformis Islah Islam yang juga dikenali dengan semangat gerakan Ikhwanul Muslimin untuk menentang penjajahan Barat di Tanah Melayu. Kesan kebangkitan semangat yang telah dibawa oleh golongan ini telah membangkitkan semangat bagi gerakan-gerakan Islam di Tanah Melayu seperti Parti Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Bagi perintis gerakan yang berbaur politik oleh golongan berpendidikan Barat ini berada di bawah pimpinan bekas penuntut-penuntut Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim, Perak. Pertubuhan politik ini muncul daripada kesedaran terhadap kebajikan dan kepentingan orang Melayu di Tanah Melayu. Parti ini telah dipimpin oleh Ibrahim Yaakub, Ishak Hj Muhammad, Ahmad Boestamam, Abdul Karim Rashid dan Harun Aminurrashid. Gerakan parti ini tidak dapat bertahan lama dan semakin lemah selepas Perang Dunia Kedua apabila pertubuhan parti ini diharamkan dan pemimpin-pemimpinnya telah ditangkap oleh pihak British. Gerakan yang dimaksudkan adalah Kesatuan Melayu Muda yang merupakan pertubuhan politik pertama di Tanah Melayu.

Selepas Perang Dunia Kedua, gerakan berhaluan kiri muncul kembali dan masih diterajui oleh bekas-bekas pemimpin Kesatuan Melayu Muda. Terdapat tiga kumpulan ideologi gerakan anti British yang wujud. Gerakan-gerakan ini lebih dikenali sebagai gerakan yang berideologikan Islam, Kebangsaan Melayu dan Komunis. Gerakan-gerakan ini secara umumnya telah dipimpin oleh tiga golongan utama iaitu golongan berpendidikan Islam, berpendidikan Melayu dan berpendidikan Inggeris. Ketiga-tiga kumpulan ideologi gerakan anti British di bawah kepimpinan tiga golongan utama ini telah memperlihatkan nasionalisme Melayu. Gerakan anti British yang berideologikan perjuangan Islam didokong oleh Hizbul Muslimin (HM) 1948. Pertubuhan ini telah diasaskan di Gunung Semanggol, Perak dan diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Kemunculan Hizbul Muslimin merupakan bukti jelas kepada perkembangan gerakan perjuangan Islam dalam menentang penjajahan British. Kehadiran Hizbul Muslimin dalam arus persada politik Tanah Melayu tidak disenangi oleh pihak British. Oleh kerana pergerakan mereka ini dianggap terlalu radikal oleh pihak British, para pemimpin Hizbul Muslimin telah ditangkap dan dipenjarakan. Selain perjuangan Hizbul Muslimin, Parti Islam SeMalaya (PAS) pada tahun 1951 telah diaspirasikan untuk menyambung perjuangan Hizbul Muslimin. Majlis Agama Tinggi SeMalaya (MATA) turut dikategorikan sebagai salah satu gerakan berideologikan perjuangan Islam.

Gerakan anti British yang berideologikan Kebangsaan Melayu pada awalnya dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM). Setelah pengharaman gerakan pertubuhan ini oleh pihak British, tokoh-tokoh Kesatuan Melayu Muda ini telah menukar strategi perjuangan mereka dengan menubuh serta menaja beberapa pergerakan berhaluan kiri. Gerakan yang muncul selepas pengharaman Kesatuan Melayu Muda adalah Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada tahun 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945 oleh Moktaruddin Laso, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan Ahmad Boestaman. Angkatan Pemuda Insaf (API) pada Disember 1945 oleh Ahmad Boestamam, Persatuan Melayu Semenanjung (PMS) pada tahun 1950 yang dipimpin oleh Hashim Ghani, Pemuda Radikal Melayu (PERAM) oleh M.Mustaza dan Gerakan Angkatan Pemuda (GERAM) oleh Abdul Aziz Ishak.

Gerakan anti British yang berideologikan Komunis pula merupakan gerakan anti British yang wujud walaupun aliran pemikiran komunis dalam kalangan orang Melayu pada ketika itu amat terhad. Gerakan radikal ini hanya terhad kepada mereka yang benar-benar menjiwai falsafah perjuangan komunisme seperti Musa Ahmad, Rashid Maidin dan Abdullah CD. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) merupakan parti gerakan yang berideologikan komunis pada awal penubuhannya iaitu di bawah pimpinan Moktaruddin Laso selaku Ketua Umum I Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan kemudiannya telah ditukar kepada parti yang berideologikan Kebangsaan Malaya setelah diambil alih oleh kepimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Moktaruddin Laso merupakan seorang pejuang radikal yang berideologikan pemikiran komunis. Selain Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Buruh Malaya (PBM) turut diresapi dengan fahaman ideologi komunis.


Rujukan:
Hj.Dr.Syed Ibrahim (2009). Malaysia Kita Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan AM Kerajaan. Selangor : Terbitan International Law Book Services. Hlm. 177.

Ishak Saat (2007). ‘Sejarah Politik Melayu : Radikalisme Melayu Perak 1938-1957’. Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran. Shah Alam : Terbitan Karisma Production Sdn. Bhd. hlm. 131.