BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, August 12, 2010

Gerakan Politik Kiri Pejuang Kemerdekaan Sebenar?

Gerakan berhaluan kiri atau radikal bermula setelah wujudnya kebangkitan semangat nasionalisme dan telah disemarakkan oleh golongan nasionalis yang berpendidikan Melayu. Kebangkitan semangat ini telah dipelopori oleh Kaum Muda dan Kesatuan Melayu Muda sekitar tahun 1920-an dan 1930-an. Kaum Muda merupakan golongan yang mendapat pendidikan dari Timur Tengah telah membawa semangat reformis Islah Islam yang juga dikenali dengan semangat gerakan Ikhwanul Muslimin untuk menentang penjajahan Barat di Tanah Melayu. Kesan kebangkitan semangat yang telah dibawa oleh golongan ini telah membangkitkan semangat bagi gerakan-gerakan Islam di Tanah Melayu seperti Parti Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Bagi perintis gerakan yang berbaur politik oleh golongan berpendidikan Barat ini berada di bawah pimpinan bekas penuntut-penuntut Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjung Malim, Perak. Pertubuhan politik ini muncul daripada kesedaran terhadap kebajikan dan kepentingan orang Melayu di Tanah Melayu. Parti ini telah dipimpin oleh Ibrahim Yaakub, Ishak Hj Muhammad, Ahmad Boestamam, Abdul Karim Rashid dan Harun Aminurrashid. Gerakan parti ini tidak dapat bertahan lama dan semakin lemah selepas Perang Dunia Kedua apabila pertubuhan parti ini diharamkan dan pemimpin-pemimpinnya telah ditangkap oleh pihak British. Gerakan yang dimaksudkan adalah Kesatuan Melayu Muda yang merupakan pertubuhan politik pertama di Tanah Melayu.

Selepas Perang Dunia Kedua, gerakan berhaluan kiri muncul kembali dan masih diterajui oleh bekas-bekas pemimpin Kesatuan Melayu Muda. Terdapat tiga kumpulan ideologi gerakan anti British yang wujud. Gerakan-gerakan ini lebih dikenali sebagai gerakan yang berideologikan Islam, Kebangsaan Melayu dan Komunis. Gerakan-gerakan ini secara umumnya telah dipimpin oleh tiga golongan utama iaitu golongan berpendidikan Islam, berpendidikan Melayu dan berpendidikan Inggeris. Ketiga-tiga kumpulan ideologi gerakan anti British di bawah kepimpinan tiga golongan utama ini telah memperlihatkan nasionalisme Melayu. Gerakan anti British yang berideologikan perjuangan Islam didokong oleh Hizbul Muslimin (HM) 1948. Pertubuhan ini telah diasaskan di Gunung Semanggol, Perak dan diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Kemunculan Hizbul Muslimin merupakan bukti jelas kepada perkembangan gerakan perjuangan Islam dalam menentang penjajahan British. Kehadiran Hizbul Muslimin dalam arus persada politik Tanah Melayu tidak disenangi oleh pihak British. Oleh kerana pergerakan mereka ini dianggap terlalu radikal oleh pihak British, para pemimpin Hizbul Muslimin telah ditangkap dan dipenjarakan. Selain perjuangan Hizbul Muslimin, Parti Islam SeMalaya (PAS) pada tahun 1951 telah diaspirasikan untuk menyambung perjuangan Hizbul Muslimin. Majlis Agama Tinggi SeMalaya (MATA) turut dikategorikan sebagai salah satu gerakan berideologikan perjuangan Islam.

Gerakan anti British yang berideologikan Kebangsaan Melayu pada awalnya dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM). Setelah pengharaman gerakan pertubuhan ini oleh pihak British, tokoh-tokoh Kesatuan Melayu Muda ini telah menukar strategi perjuangan mereka dengan menubuh serta menaja beberapa pergerakan berhaluan kiri. Gerakan yang muncul selepas pengharaman Kesatuan Melayu Muda adalah Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada tahun 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 17 Oktober 1945 oleh Moktaruddin Laso, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan Ahmad Boestaman. Angkatan Pemuda Insaf (API) pada Disember 1945 oleh Ahmad Boestamam, Persatuan Melayu Semenanjung (PMS) pada tahun 1950 yang dipimpin oleh Hashim Ghani, Pemuda Radikal Melayu (PERAM) oleh M.Mustaza dan Gerakan Angkatan Pemuda (GERAM) oleh Abdul Aziz Ishak.

Gerakan anti British yang berideologikan Komunis pula merupakan gerakan anti British yang wujud walaupun aliran pemikiran komunis dalam kalangan orang Melayu pada ketika itu amat terhad. Gerakan radikal ini hanya terhad kepada mereka yang benar-benar menjiwai falsafah perjuangan komunisme seperti Musa Ahmad, Rashid Maidin dan Abdullah CD. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) merupakan parti gerakan yang berideologikan komunis pada awal penubuhannya iaitu di bawah pimpinan Moktaruddin Laso selaku Ketua Umum I Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan kemudiannya telah ditukar kepada parti yang berideologikan Kebangsaan Malaya setelah diambil alih oleh kepimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Moktaruddin Laso merupakan seorang pejuang radikal yang berideologikan pemikiran komunis. Selain Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Buruh Malaya (PBM) turut diresapi dengan fahaman ideologi komunis.


Rujukan:
Hj.Dr.Syed Ibrahim (2009). Malaysia Kita Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan AM Kerajaan. Selangor : Terbitan International Law Book Services. Hlm. 177.

Ishak Saat (2007). ‘Sejarah Politik Melayu : Radikalisme Melayu Perak 1938-1957’. Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran. Shah Alam : Terbitan Karisma Production Sdn. Bhd. hlm. 131.