BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, August 12, 2010

Pandangan Mengenai Masa Depan Politik Perkongsian Kuasa Pasca PRU-12

Melalui pembacaan dan kajian yang telah saya jalankan sebelum menyiapkan tugasan ini, saya berpendapat bahawa masa depan politik perkongsian kuasa antara kaum tetap relevan di Malaysia pada masa akan datang. Selepas berlakunya tsunami politik pada PRU ke 12 yang lalu politik perkongsian kuasa tetap utuh dan semakin menunjukkan keikhlasan yang tersendiri walaupun beberapa negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Di pihak Barisan Nasional yang menang tipis di peringkat Parlimen masih lagi mengekalkan dasar perkongsian kuasa yang telah lama wujud. Pada kali ini, wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak ramai yang telah dipilih oleh Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Datuk Seri Abdullah Badawi menjadi Menteri Kabinet sesuai dengan kerusi yang banyak dimiliki oleh calon-calon BN di Sabah dan Sarawak. Selain daripada itu, wakil-wakil komponen dalam BN seperti MCA, MIC, PPP dan GERAKAN juga dipilih menganggotai Kabinet sesuai dengan semangat perkongsian kuasa yang diamalkan sebelum ini walaupun calon-calon parti komponen dalam BN ramai yang telah tewas kepada Pakatan Rakyat.

Selain itu, negeri-negeri yang telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR) seperti di Selangor, Perak dan Pulau Pinang juga mengamalkan dasar perkongsian kuasa antara kaum dan isu mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keanggotaannya berbilang kaum akan menyebabkan amalan perkongsian kuasa akan lenyap di bumi Malaysia tidak timbul malah perkongsian kuasa di negeri Pakatan Rakyat lebih dinamik dan tersusun. Bagi menyokong hujah tersebut, contoh yang paling baik boleh kita lihat di negeri Perak selepas PR telah berjaya mendapat kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Wakil PAS telah memenangi 6 kerusi, DAP pula telah memenangi 18 kerusi dan PKR menang sebanyak 7 kerusi telah menafikan Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri Perak. Mengikut perjanjian yang di buat oleh pihak Barisan Alternatif wakil parti gabungan yang paling banyak menang akan dilantik menjadi Menteri Besar dan melihat kepada jumlah kerusi yang dimenangi maka wakil DAP paling layak untuk memegang tampuk kerusi Menteri Besar. Namun begitu, sesuai dengan semangat setia kawan dalam PR tiga nama wakil dari PAS, DAP dan PKR telah dihantar kepada Pemangku Sultan Perak iaitu Raja Dr. Nadzrin Shah untuk mendapat perkenan baginda siapa yang paling layak menjadi menteri besar.

Dengan kebijaksanaan Ke Bawah Duli Tuanku Pemangku Sultan, YB Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin dari PAS telah diperkenan untuk menjadi Menteri Besar Perak. Keputusan Pemangku Sultan telah diterima secara muafakat oleh wakil DAP dan PKR sesuai dengan peruntukan Perlembagaan Tubuh Negeri Perak yang memperuntukan hanya orang Melayu Islam sahaja yang layak menjadi Menteri Besar Perak. Segala pengalaman dan ketokohan Ir. Mohamad Nizar telah berjaya menyatukan ketiga-tiga ideologi politik PAS, DAP dan PKR bersama-sama membentuk kerajaan di Perak. Istilah Pakatan Rakyat juga mula diperkenalkan oleh Ir. Mohamad Nizar bagi merapatkan jurang ideologi antara ketiga-tiga entiti politik tersebut. Kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak adalah merupaka lembaran baru dalam duni politik Tanah Air yang mana telah melihatkan masa depan yang cerah bagi politik perkongsian kuasa antara kaum di Malaysia.

Modul di Perak pada masa itu adalah antara yang terbaik bagi menunjukkan perkongsian kuasa dan keadilan kepada semua kaum walaupun ada beberapa tindakan Ir. Mohamad Nizar telah ditempelak sesetengah pihak yang mengatakan bahawa beliau adalah kuda tunggangan DAP dan bertindak atas arahan DAP selepas beliau memberikan tanah kepada Sekolah Cina dan orang-orang Cina di Kampung Baru. Namun demikian, Ir. Nizar hanya mahu memerintah secara adil dan tidak mendiskriminasikan rakyatnya sesuai dengan keadilan Islam. Perwatakan Ir. Mohamad Nizar yang sederhana dan berjiwa rakyat juga telah menjadi ikon kepada semua rakyat berbilang kaum di Perak dan beliau amat dihormati kawan serta lawan. Selain itu, kebolehan beliau menguasai bahasa Mandarin, Tamil serta Inggeris amat disenangi oleh rakyat Perak yang berbilang kaum.

Contoh kedua bagi meyakinkan bahawa politik perkongsian kuasa tetap relevan di Malaysia selepas PRU ke 12 ialah di negeri Pulau Pinang. YB Lim Guan Eng dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang kerana parti DAP mempunyai kerusi DUN paling banyak iaitu sebanyak 19 kerusi berbanding parti gabungan dalam Pakatan Rakyat PAS yang hanya menang satu kerusi manakala PKR menang 9 kerusi yang dipertandingkan.

Walaupun kedua-dua Ketua Menteri Pulau Pinang berbangsa Cina, namun perbezaan ketara dapat dilihat pada zaman Barisan Nasional berkuasa dahulu berbanding pada zaman Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang. Keterbukaan sikap Lim Guan Eng dalam beberapa hal telah membuka mata banyak pihak malah beliau sendiri telah menyatakan mahu mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz dalam memerintah negeri dari aspek keadilan dan ketelusan dalam kepimpinan beliau. Beliau telah dikritik hebat oleh golongan yang Pro-Melayu selepas mahu memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dirasakannya tidak adil kepada semua kaum di Pulau Pinang. Namun begitu, isu tersebut tidak lama berkumandang dalam media memandangkan Perdana Menteri sendiri telah melancarkan Dasar Liberalisasi Ekonomi.

Perkongsian kuasa antara kaum jelas dan mempunyai masa depan yang baik jika dilihat dalam pemilihan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri serta Ahli Majlis Kerajaan Tempatan di Pulau Pinang. YAB Lim Guan Eng telah melantik wakil-wakil Melayu dari Parti PKR dan Pas untuk menjadi Ahli Majlis Kerajaan Tempatan. Pengagihan kepada rakyat terbanyak juga dilakukan dengan lebih cermat dan hanya Cina, Melayu dan India yang benar-benar layak berhak mendapat bantuan dari kerajaan. Dasar tender terbuka telah diperkenalkan bagi projek-projek kerajaan negeri kepada para kontraktor untuk bersaing secara sihat untuk mendapat projek. Selain itu, kesedian kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan hadiah kepada para hafiz dan hufazah al-Quran amatlah mengharukan seluruh umat Islam di Pulau Pinang malah ucapan-ucapan YB Lim Guan Eng sering memetik ayat-ayat suci al-Quran sebagai panduan. Keterbukaan beliau dalam beberapa hal telah menutup persepsi negatif kepada orang Melayu bahawa DAP adalah sebuah parti yang anti Islam dan anti Melayu.

Selain daripada itu, contoh perkongsian kuasa di Selangor juga boleh dijadikan hujah bagi menyokong politik perkongsian kuasa tetap relevan di Malaysia pada masa depan. Pakatan Rakyat Berjaya membentuk kerajaan setelah mendapat majoriti mudah dalam DUN Selangor mengatasi kerusi yang dimiliki Barisan Nasional. Gabungan parti dalam Pakatan Rakyat PAS telah memenangi 8 kerusi, PKR menang 15 kerusi manakala DAP menang 13 kerusi. Sesuai dengan perjanjian yang dilakukan sebelum pilihanraya, wakil dari PKR telah diterima sebulat suara menjadi Menteri Besar Selangor dan Tan Sri Khalid Ibrahim telah diperkenan Sultan Selangor menjadi Menteri Besar.

Banyak perubahan dan reformasi dilakukan oleh kerajaan Selangor bagi mencapai keadilan dan perkongsian kaum antara kaum di negeri tersebut contohnya perlantikan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan. Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab kepada kerajaan tempatan iaitu YB Ronnie Liew melantik orang-orang Melayu yang mewakili PAS dan PKR untuk memegang tampuk kepimpinan dalam kerajaan tempatan. Kematangan Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak melihat kepada kaum semata-mata sebaliknya kelayakan individu tertentu dalam menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan negeri Selangor juga menjadi kontroversi hangat selepas beliau melantik Low Siew Moi seorang yang berbangsa Cina menjadi pengerusi PKNS.

Perlantikan Low Siew Moi sebagai pemimpin PKNS telah menimbulkan banyak persoalan dari berbagai pihak dari kaum Melayu. Hal ini kerana kedudukan tertinggi di dalam intstitusi penting negeri Selangor ini telah diterajui bangsa Melayu semenjak ia ditubuhkan dengan tujuan untuk membangunkan ekonomi negeri yang mana majoritinya adalah penduduk Melayu. Namun begitu, selepas desakan oleh beberapa pihak akhirnya Tan Sri Khalid mahu mengkaji semula perlantikan Pengerusi PKNS tersebut.


Rujukan:
Ahmad Atory. 1993. Dimensi Politik Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ishak Saat. 2005. Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia. Shah Alam: Karisma Publications.

Nordin Samadi. 1978. Politik Perkauman Parti-parti Politik Pembangkang dalam Masyarakat Berbilang Kaum di Semenanjung Malaysia. Latihan Ilmiah. Bangi: UKM.

Tan Ding Eing. 1975/1979. Sejarah Malaysia Dan Singapura. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

0 comments: