BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, August 12, 2010

Cabaran dan rintangan yang dihadapi pejuang-pejuang politik kiri

Setiap perkara yang dilakukan untuk mencapai sesuatu hasrat perlulah diketahui permulaan tindakan itu dilakukan dan juga matlamat yang ingin dikecapi. Begitu juga dengan gerakan berhaluan kiri di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Setelah mengetahui sejarah latar belakang penubuhan serta dasar dan tujuan gerakan ini ditubuhkan, kini beralih pula kepada cabaran dan rintangan yang terpaksa dilalui oleh gerakan ini sebagai gerakan berhaluan kiri atau anti British. Daripada hasil pembacaan yang telah dilakukan, dapat diulaskan di sini bahawa terdapat beberapa cabaran dan rintangan yang telah dilalui oleh gerakan berhaluan kiri ini.

Antara cabaran dan rintangan yang dapat dinyatakan di sini adalah pengharaman ke atas pertubuhan gerakan berhaluan kiri oleh pihak British. Ini dapat dilihat apabila pihak British telah mengharamkan pergerakan Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Hizbul Muslimin (HZ). Pertubuhan gerakan ini diharamkan kerana pihak British beranggapan bahawa pergerakan ini bersifat terlalu radikal dan agresif yang boleh menggugat kedudukan mereka di Tanah Melayu.

Cabaran kedua adalah pembubaran pertubuhan gerakan kerana pemimpin-pemimpin yang mendokong gerakan berhaluan kiri ini telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak British. Penangkapan pemimpin-pemimpin gerakan berhaluan kiri ini dilakukan atas dakwaan menghasut rakyat untuk bangkit menentang pihak British di Tanah Melayu. Antara tokoh yang terlibat adalah Ahmad Boestamam yang memimpin Angkatan Pemuda Insaf, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan pemimpin-pemimpin kanan Parti Kebangsaan Melayu Malaya serta pemimpin-pemimpin kanan Hizbul Muslimin.

Cabaran ketiga adalah berkaitan dengan Undang-Undang Darurat 1948 yang telah diperkenalkan di Tanah Melayu. Pengisytiharan Undang-Undang Darurat 1948 telah dilakukan pada 16 Jun 1948 ekoran dari peristiwa pembunuhan tiga orang pengurus ladang bangsa asing dan salah seorang daripadanya adalah Athur Walker di Sungai Siput, Perak. Ekoran dari peristiwa itu, Ahmad Boestamam yang sedang aktif dengan gerakan Angkatan Pemuda Insaf telah ditangkap di Kampung Berang, Tanjung Malim Perak. Melalui undang-undang ini, pihak British telah mengambil kesempatan dengan menangkap ramai pemimpin-pemimpin kecil dan pendokong-pendokong Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Antara yang disenaraikan adalah Abdul Majid Salleh, Osman Abadi, Wan Daud, Othman Bulun, Penghulu Ariffin, Saman Shariff, Sheikh Qadir, Hassan Ahad serta beberapa orang lagi. Penangkapan ini telah menyebabkan mereka dipenjarakan selama tujuh tahun.

Era 1950-an, perjuangan gerakan berhaluan kiri ini lebih bersifat mengikut undang-undang yang telah ditetapkan di Tanah Melayu pada ketika itu. Sungguhpun gerakan-gerakan berhaluan kiri yang wujud pada era itu mengikut undang-undang yang telah ditetapkan, namun gerakan-gerakan ini masih tidak dapat menggugat kedudukan British di Tanah Melayu. Bukan itu sahaja, mereka juga terpaksa berhadapan dengan gerakan-gerakan berhaluan kanan yang berkompromi dengan pihak British. Antara gerakan-gerakan berhaluan kanan yang berkompromi dengan British dan menjadi penghalang kepada gerakan berhaluan kiri adalah Parti Perikatan di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Cabaran kelima adalah berkaitan dengan tuntutan yang telah dibuat oleh gerakan berhaluan kiri tidak mendapat kerjasama daripada pihak British. Ini kerana pendirian yang cuba ditegaskan oleh gerakan berhaluan kiri ini adalah bertentangan dengan pendirian pihak British. Ini dapat dilihat apabila tuntutan Parti Rakyat Malaya yang ditubuhkan oleh Ahmad Boestamam selepas pembebasan beliau dari kem tahanan politik cuba dinyatakan kepada pihak British tidak mendapat kerjasama seperti yang diharapkan.

Cabaran yang terakhir yang dapat diulaskan di sini adalah berkaitan dengan gerakan kecil parti-parti berhaluan kiri. Ketika berhadapan dengan pihak British, parti-parti kecil turut meneruskan perjuangan mereka untuk membantu gerakan-gerakan besar berhaluan kiri mencapai matlamat mereka. Malangnya, suara-suara yang dilontarkan oleh gerakan-gerakan kecil ini dalam membela nasib bangsa Melayu tidak mampu menggugat kedudukan pihak British di Tanah Melayu. Ini kerana pada masa perjuangan mereka, ketiadaan tokoh-tokoh pemimpin yang mampu membawa idea-idea kepada masyarakat dan seterusnya kepada pihak British. Salah satu gerakan kecil berhaluan kiri ini adalah Persatuan Melayu Semenanjung (PMS).


Rujukan:
Ishak Saat (2007). ‘Ahmad Boestamam : Biografi Tokoh Kepimpinan Melayu Radikal’ . Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran. Shah Alam : Terbitan Karisma Production Sdn. Bhd. hlm. 184.

Rashid Maidin telah mengadakan ceramah beliau di Gunung Semanggol pada tahun 1947 berkaitan dengan pentingnya orang Melayu bersatu bangkit menentang penjajah

0 comments: