BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, August 12, 2010

Tahukah anda DADAH ialah musuh nombor satu negara?

Faktor-faktor yang mempangaruhi penyalahgunaan dadah:

Perasaan ingin tahu
Belia yang mengambil dadah pada usia 20 hingga 24 tahun ini kebanyakannya mencuba untuk mencari keseronokan dan menjadikannya sebagai bahan rangsangan untuk berjaga dan belajar pada waktu malam serta disebabkan oleh tekanan hidup. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar (2006) yang melancarkan program Maxis Hotlink Germany ‘2006 Grand Finale Carnival’ sempena perlawanan akhir Piala Dunia di Jalan Bukit Bintang berkata, kerajaan tidak pernah menghalang masyarakat untuk berhibur selagi tidak menyalahi undang-undang, tetapi mereka mesti memberikan kerjasama membasmi dadah.
Perasaan ingin tahu adalah satu daripada ciri-ciri semula jadi seseorang. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang mula meningkat remaja. Remaja akan melalui satu peringkat kritikal untuk mencari identiti diri dan perasaan ini perlu diperkembangkan untuk kebaikan diri. Remaja yang mula ingin mengenali diri ingin kelihatan hebat dan diterima oleh rakan-rakannya dan mereka mula minat mencuba sesuatu yang boleh dianggap hebat. Bermula daripada rokok dan akhirnya terlibat dengan penagihan dadah. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk melihat perkembangan anak-anak mereka supaya mereka tidak terjerumus dalam kegiatan yang negatif seperti penagihan dadah

Tekanan persekitaran
Dilema persekitaran sosial timbul apabila seseorang menghadapi masalah dalam pergaulan dengan anggota masyarakat yang lain. Dilema persekitaran sosial ini boleh menimbulkan perasaan rendah diri dan tidak diterima oleh orang lain. Apabila keadaan ini berlaku, seseorang itu tidak dapat membuat keputusan yang baik bagi kesejahteraan dirinya, lantas melakukan perkara yang bercanggah dengan norma-norma hidup. Mereka mengambil dadah untuk melupakan masalah yang dihidapi dan berada dalam dunia khayalan sendiri.

Kurang kasih sayang daripada ibu bapa
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak. Terdapat ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Hal ini akan mewujudkan perhubungan keluarga yang kurang mesra. Akibatnya, anak-anak mencari jalan mereka sendiri dan mencari keseronokan di luar dan akan mula terlibat dengan penagihan dadah.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam Berita Harian, 14 Ogos 2006 dibawah tajuk ‘Syabu Punca Utama Jenayah Meningkat’ menyarankan ibu bapa supaya memainkan peranan penting jika mahu masalah penagihan ini berkurangan. Menurutnya, menangkap penagih dan menghantar mereka ke penjara atau pusat pemulihan bukan lagi satu jalan penyelesaian kerana mereka akan kembali menagih apabila keluar. Kini, peranan ibu bapa dan masyarakat diperlukan supaya gejala dadah ini dapat diperangi habis-habisan.

Pengaruh rakan sebaya
Masalah ini berpunca ekoran daripada rosaknya intitusi kekeluargaan dan remaja mula keluar untuk mencari keseronokan di luar rumah. Mereka mula mencari rakan-rakan untuk berhibur bagi melepaskan tekanan di rumah. Maka tidak dapat dinafikan pengaruh rakan sebaya menjadi faktor utama menjerumuskan seseorang itu ke kancah penagihan dadah. Putihnya rakan-rakan maka putihlah juga remaja tersebut, hitam rakan-rakan maka hitamlah remaja tersebut begitulah perumpaan yang sesuai digunakan bagi menggambarkan pengaruh rakan sebaya amat penting dalam mencorak kehidupan seseorang remaja. Oleh itu, para remaja perlu pandai mencari rakan yang sesuai supaya tidak terjebak dalam penagihan najis dadah dan ibu bapa perlu memantau pergaulan anak-anak mereka.


Lain-lain faktor
Berdasarkan kajian dan temubual yang dilakukan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan penagih-penagih dadah, mereka memberikan pelbagai faktor mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Antara faktor-faktor tersebut ialah pencapaian peperiksaan yang tidak baik, keluarga yang berpecah belah, ibu bapa bercerai, ibu bapa menggunakan dadah, mudah mendapat bekalan dadah, tekanan hidup, semua kawan menggunakan dadah, tidak tahu dadah boleh menyebabkan ketagihan, tidak percaya diri akan menjadi penagih, ingin mengulangi kesan akibat, membalas dendam kepada ibu bapa yang tidak mempedulikan dirinya, sebagai satu kaedah mencapai matlamat, untuk tujuan kesesonokan dan lain lagi.


Rujukan:
Abdul Ghafar Taib. (1992). Dadah pembunuh. Kuala Lumpur: Delmu (Malaysia) Sdn. Bhd.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan. (2005). Dadah: Apa anda perlu tahu. Kuala Lumpur: Delmu (Malaysia) Sdn. Bhd.

0 comments: